Memaparkan catatan dengan label ptd. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ptd. Papar semua catatan

Khamis, 29 Januari 2015

Keputusan Temuduga Pegawai Tadbir Diplomatik 2014

Masa ni saya baru je balik dari bercuti, memang tak buka internet langsung 2-3 hari ni, jadi tak tau perkembangan semasa. Ni baru je check email, rupanya ramai yang tanya saya pasal result PTD yang dah keluar baru-baru ni. Ingatkan 15/2 baru keluar result.

Saya pun check la.. DUKACITA! sedihnya rasa.. terus makan kek secret recipe huhuhu..
tapi bila tengok dekat group FB calon PTD, rupanya ramai yang status tiba-tiba bertukar. ada yang hari ni berjaya, tapi esok check jadi calon simpanan pulak. ada pulak yang pagi dukacita, tapi petang status tahniah pulak.

Jadi kesimpulannya kat sini, selagi anda semua tak dapat surat rasmi untuk lapor diri, anggaplah keputusan tu tak muktamad lagi. Bagi yang berjaya, saya ucapkan tahniah! Bagi yang DUKACITA, banyak-banyak la berdoa kerana masih lagi ada sinar harapan. Mana la tau esok status anda bertukar menjadi TAHNIAH pula. Berdoalah pada kabel terbesar kita iaitu ALLAH S.W.T. Kalau tak dapat juga anggap jela bukan rezeki kita buat masa ni ok.






Khamis, 8 Januari 2015

Syarat-syarat memohon jawatan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD)

Post ni khas buat adik-adik yang tengah belajar dan nak mohon PTD. Sebenarnya tak banyak syarat-syarat utama nak mohon PTD pun, yang penting pastikan korang ada:

1. Ijazah / Sarjana / PHD sebarang bidang pengkhususan dari universiti tempatan ataupun luar negara yang diiktiraf oleh kerajaan. Pastikan juga CGPA korang lebih daripada 3.0 ye. Kalau dulu cgpa bawah 3.0 masih lagi diterima jadi PTD, tapi nampaknya mulai tahun 2014, syarat SPA dah makin ketat. Mungkin sebab ramai sangat yang mohon. Jadi kalau cgpa korang bawah 3.0, apa kata sambung belajar master pulak dan dapatkan cgpa 3.0 ke atas. Kalau ada rezeki, insyaAllah korang dapat.

2. Mendapat kepujian dalam Bahasa Melayu termasuk lulus ujian lisan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). - kadang-kadang korang ada ijazah tapi bila check kat web SPA, tak melepasi syarat-syarat yang ditetapkan, jadi mungkin ini sebabnya. Gred kepujian tu maksudnya bermula dari Gred C sehingga lah cemerlang tinggi A+. Jadi adik-adik, jangan main-main dengan cikgu Bahasa Melayu korang time SPM ok!

3. Lulus peperiksaan memasuki perkhidmatan PTD. Kalau korang dah mohon dan melepasi dua syarat di atas, biasanya SPA akan maklumkan untuk peperiksaan PTD. Kalau tahun-tahun lepas, exam dijalankan macam ambik SPM tu, dalam dewan siap ada pengawas peperiksaan. Tapi mulai tahun 2014, exam dijalankan secara online, maknanya korang boleh amik exam kat mana-mana jela yang ada internet yang laju dan efisyen. Walaupun exam online ni nampak cam senang nak google cari jawapan, tapi sebenarnya tak sempat pun. Setakat 3-4 soalan boleh la sebab masa yang diberi pun amat singkat. Akak tak sempat pergi toilet pun masa exam online tu hehehe.

Tu je syarat-syarat utama kalau nak apply PTD. Selain dari syarat-syarat utama ni, korang kena mula asah kemahiran seperti penguasaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Libatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang mengasah kepimpinan. Banyakkan membaca mengenai isu semasa. Ada rakan sekolah akak yang lepas graduate je terus dapat jadi PTD. Alhamdulillah rezeki dia, lagipun dia memang pelajar yang bijak pun.


Ahad, 21 Disember 2014

National Blue Ocean Strategy 7 (NBOS 7) / Strategi Lautan Biru Kebangsaan

Rasanya NBOS ni banyak kali ditanya, tak kira lah masa temuduga atau esei. Jadi apa kata kita study sikit pasal NBOS ni.

Sebelum tu kita kena tahu kenapa strategi ni diberi nama lautan biru? kenapa tak tasik hijau ke, atau sungai keruh ke kan?

Kalau nak cerita memang banyak, penat la nak taip panjang-panjang, apa kata korang layan video ni dulu, hehe.



Okay mungkin ada di antara korang yang tak boleh nak layan video, sebab data plan nak habis, asyik buffering je kan, jadi saya tolong taipkan kat sini secara ringkas.

Lautan: merujuk kepada perkhidmatan awam
Lautan biru: peluang baru untuk diterokai bagi menambah baik perkhidmatan awam untuk rakyat.

NBOS diperkenalkan pada tahun 2009 oleh Dato' Seri Najib Tun Razak.
"Kita berlayar dari lautan merah ke lautan biru" - maaf bebanyak, saya tak tahu apa maksudnya tu
dengan bekalan PRODUKTIVITI, KREATIVITI, INOVASI.
(sila rujuk temuduga terbaru saya di sini, di mana saya ditanya bagaimana nak jadi seorang PTD yang kreatif, produktif dan inovatif, nampak gayanya penjawat awam sangat suka tiga perkataan ni, nampak bombastic kan, jadi cuba fahami apa maksud 3 perkataan ni sebenarnya)

dilaksanakan antara kementerian dan agensi kerajaan merentasi kerajaan persekutuan, negeri dan tempatan. (penting untuk korang faham apa beza ketiga-tiga bidang kuasa ini, soalan favourite panel)

Tiga prinsip proses saksama

  1. Penglibatan semua pihak iaitu menteri, penjawat awam dan rakyat
  2. Penerangan kepentingan program NBOS agar semua pihak faham
  3. Penjelasan tanggungjawab agar semua pihak dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing

Program NBOS yang berjaya dilaksanakan ialah:
Kerjasama kreatif antara polis dan tentera untuk kurangkan kadar jenayah.
UTC untuk mengintegrasikan pelbagai agensi kerajaan dan perkhidmatan masyarakat di bawah satu bumbung.
RTC untuk tingkatkan taraf hidup penduduk luar bandar.
IM4U untuk semarakkan semangat kesukarelaan di kalangan belia demi kemajuan negara.
Memperkasakan GTP dan ETP dengan tujuan mengoptimumkan penggunaan sumber agar proses dapat dijalankan bagi mencapai impak yang tinggi dengan kos yang rensah dan dilaksanakan dengan pantas.


UTC - Urban Transformation Centre
RTC - Rural Transformation Centre
GTP - Government Transformation Program
ETP - Economy Transformation Program

Layan satu lagi video kalau nak tahu detail dari NBOS 1 hinggan NBOS 8



Jumaat, 19 Disember 2014

Panduan menulis esei dan contoh soalan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) 2014

Saya dah cuba kumpulkan beberapa soalan esei yang telah dikongsi oleh calon-calon temuduga dekat FB group baru-baru ni. Soalan setiap hari adalah berbeza dan mungkin tidak berulang. Tapi saya tetap nak kongsikan kat sini sebagai panduan pada calon-calon yang belum ditemuduga. Alhamdulillah sejak saya ambil ujian PTD 2-3 tahun ini tak pernah lagi saya gagal peperiksaan, cuma gagal temuduga je.

Antara tips yang boleh saya kongsikan sebagai panduan menulis esei ialah:

1. Saya hanya menulis 5 perenggan sahaja, pendahuluan, 3 isi kandungan, penutup. Lebih kurang satu mukasurat setengah je. Tak perlu terlalu panjang kerana kadangkala apabila terlalu panjang, lebih banyak kesalahan bahasa yang dilakukan.

2. Elakkan huraian yang meleret-leret. Dalam setiap perenggan, terangkan isi penting dengan jelas, satu atau dua huraian berserta contoh.

3. Beri 1-2 contoh petikan dari kata-kata tokoh terkenal, contohnya Perdana Menteri. Ini menunjukkan anda memang rajin membaca dan bukannya hanya memberi huraian berdasarkan fikiran sendiri.

4. Rancang dahulu isi kandungan yang hendak ditulis. Pastikan pengenalan esei menarik perhatian pembaca dan isi penting yang paling kuat/kukuh diletakkan dalam perenggan pertama, Kalau boleh, setiap perenggan mempunyai kesinambungan dari perenggan terdahulu.

5. Periksa kesalahan ejaan dan 'grammar'.

Contoh soalan esei BI


  1. 'Leadership with vision' governs great success to a country.
  2. Why it is important to eradicate bribery.
  3. Computer screen communication over face to face communication. Discuss the disadvantages of it.
  4. Children imitates adult.
  5. Academic qualification give priority chances to success in life.
  6. How the new developments of technology and communication affected our daily life.
  7. Do incentives really help to motivate the employees of an organizations.
  8. Suggest ways which government can promote recycling among public.


Contoh soalan esei BM


  1. Amalan menabung jarang diamalkan oleh masyarakat kita.
  2. Kekuatan sektor pelancongan Malaysia dalam menarik pelancong asing ke Malaysia.
  3. Kepentingan pengangkutan awam.
  4. Kasih sayang dalam keluarga.
  5. Cara tangani isu kenaikan harga barang keperluan.
  6. Media elektronik mempengaruhi tabiat membaca.
  7. Mencegah penyakit lebih bagus daripada mengubatnya.
  8. Pemimpin muda perlu lebih aktif dan produktif.
  9. Usaha untuk meningkatkan semangat kerja berpasukan.


Selasa, 16 Disember 2014

Pengalaman Temuduga Pegawai Tadbir Diplomatik 2014

Baru je balik dari temuduga ni, punya lah pantas terus update post ye! yelah kalau tunggu lama-lama nanti saya lupa la apa yang panel tanya..

Temuduga saya cuma 15 minit je, Calon sebelum saya pun sama jugak 15 minit. Kali ni semua soalan dalam BM.

1. Perkenalkan diri (dalam BM sbb panel tanya pun dalam BM)

2. Kenapa tak bersukan (saya bidang sukan, tapi sekarang ni badan dah overweight sikit, mungkin tu sebab dia tanya macam tu). Saya jawab sebab kekangan masa kerana saya bekerja, menyambung master dan mengurus keluarga pada masa yang sama. Tapi panel macam tak puas hati dengan jawapan saya tu, banyak kali dia tanya sampai saya terkedu nak jawab apa dah. Takkan nak ulang jawapan yang sama kan. Masa ni dah rasa down sikit tapi masih tabahkan hati lagi.

3. Bagaimana nak jadi seorang ptd yang inovatif, kreatif dan produktif. Saya beri jawapan tapi kurang pasti adakah itu yang panel mahukan. Jawapan sebenar ialah ptd kena banyak membaca, tambahkan ilmu pengetahuan, berintegriti.. senang citer ciri-ciri la..

4. Pernah dengar pasal pihak berkuasa tempatan tak? boleh bagi tiga contoh? Yang ni senang, Cth. Majlis Perbandaran Subang Jaya, Majlis Daerah Kuala Selangor, Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

5. Bagaimana mahu mengatasi kerenah birokrasi. Tak berapa ingat dah saya jawab apa sebenarnya, panel angguk2 je, tak tau lah setuju ke tak hehe..

6. Panel tanya ada apa-apa soalan ke? masa ni saya terkejut, aikk 3 soalan je? kejapnya! Saya tanya la, Datuk, boleh saya tahu kriteria yang datuk cari bagi seorang calon PTD? (soalan macam putus harapan je kan, hehe).

Tapi saya sangat suka part ni, datuk tak la bagitahu secara spesifik apa ciri yang dia mahukan, tapi dia cuma cakap macam cari calon suami, kena cari the best! Dia cuma mengulas apa pandangan dia terhadap saya, cthnya dia cakap saya ni agak kurang yakin dengan jawapan saya sendiri. banyak kata-kata nasihat gak la. Saya angguk2 jela..

Itu je, ucap terima kasih, pastu balik!


p/s: tak tau lah boleh dapat ke tak kali ni, Temuduga kali ni agak mengecewakan sikit berbanding temuduga 2013. Oh ya, kalau nak tahu pengalaman temuduga saya pada tahun lepas, klik sini

 Kalau dapat maknanya memang rezeki saya la tu, kalau tak dapat nampaknya saya akan menjadi blogger yang berusaha memberi pelbagai maklumat pada korang yang nak temuduga nanti ye!


Jumaat, 30 Ogos 2013

Pengalaman Temuduga Pegawai Tadbir Diplomatik 2013

tiba-tiba hari ni rajin nak update blog. mungkin sebab dah lepas temuduga PTD, so dah rilek sikit. Jadi hari ni nak cerita pasal pengalaman temuduga PTD baru-baru ni.

Perkenalkan diri.
(Panel tanya dalam BM jadi aku jawab pun dalam BM juga lah. Masa ni tak banyak idea nak cakap, cuma cerita pasal dulu belajar mana, ambil bidang apa, sekarang kerja apa, tugas-tugas tambahan di tempat kerja, berasal dari mana, adik beradik berapa)

Penglibatan kokurikulum masa sekolah dan universiti. 
(Dengar citer yang ni pun ada markah tau. Siapa yang tak aktif masa sekolah/universiti memang payah la nak goreng kan, kalo yang aktif sangat tu, cukup la setakat cerita pencapaian tertinggi je, peringkat negeri ke, daerah ke)

Kenapa nak jadi PTD?
Panel tanya soalan ni dalam Bahasa Inggeris. Tergagap juga la hamba menjawabnya sebab prepare jawapan dalam BM.  Oleh kerana jawapan digoreng bila keluar je dari bilik interview terus tak ingat dah aku jawab apa. Sori yer :)

Bidang tugas PTD
Soalan ni pun dalam Bahasa Inggeris. Rujuk nota bidang tugas PTD kat sini. Dalam hati terpikir kenapa la aku tak hafal dalam BI, Slow-slow je aku senaraikan bidang tugas tu  sebab otak tengah ligat translate perkataan.

Government Transformation Programme (GTP)
Soalan ni memang rasa cam nak nanges, sebab aku dah baca pasal GTP, NKRA dan MKRA,  tapi time interview tu cuma boleh jawab secara am je pasal GTP, apa contoh program GTP terus lupa. Aduhaii.. Padahal senang je soalan tu sebenarnya.

Tema Hari Merdeka ke 56
Ni paling rasa nak nanges, lagi beberapa hari nak merdeka tapi tak teringat langsung pasal tema merdeka tahun ni. Puncanya sebab tak bayar Astro jadi tak dapat tengok TV, jadi tak tau pun ape tema merdeka tahun ni (alasan dalam hati). Panel tu gelak je bila aku cakap aku tak ingat langsung tema merdeka tahun ni. Last2 dia yang bagitau apa tema merdeka tahun ni dan mintak aku terangkan apa yang aku faham pasal tema tersebut. Haa time ni memang goreng baik punya! Mengangguk-angguk je panel tu tanda setuju.

Situasi
Soalan situasi ni kira senang la, sebab berdasarkan logik akal je. Soalan pun kelakar, panel tanya katakanlah awak dah plan nak pergi honeymoon, memang dh ada kat airport, tiba-tiba bos panggil datang kerja yang penting sangat-sangat la. Apa yang awak nak buat?
(korang pikir la sendiri jawapannya ye, sape nak tahu skema jawapan dari panel sendiri sila komen kat bawah :)

Sesi menanya soalan
Masa ni panel bagi peluang kita pulak tanya soalan kat dia pasal PTD. Masa ni jangan cakap tak ada soalan, nanti nampak macam korang tak ada rasa ingin tahu pun pasal PTD ni. Kalau yang berkait isu-isu semasa pasal PTD lagi bagus. Plan soalan awal-awal, takpe tanya je, sebab bukan korang yang kena jawab soalan, hehe. Tapi time ni kena hati-hati gak lagi-lagi kalau isu sensitif.

Dah habis!

Nampak sikit je soalan kan, yela setengah jam je. Akak yang interview sebelum aku tu kata datuk dah muka penat, dia tak larat tanya banyak soalan. Dalam hati rasa lega sikit, cuma harap jangan datuk penat nak bagi markah kat saya ye! tiga orang yang sebelum aku pulak cakap teruk dia kena provoke, setiap kali jawab je kena pertikai. nasib baik la kami yang last-last ni tak kena macam tu. tips kat sini, pastikan korang tahu dan faham apa yang korang goreng.

Berdasarkan pemerhatian aku la kan, ada ramai juga yang datang temuduga tak mengambil berat soal penampilan. Bukan la nak kata aku pro sangat pasal hal ni, (lulus temuduga pun belum tentu lagi) tapi itu kan perkara asas nak temuduga kerajaan, lagi-lagi PTD. Masih ada yang pakai sandal raya, pakai blazer dengan seluar (perempuan). Rujuk Etika pakaian temuduga SPA. Seeloknya pakai court shoes dan blazer dengan kain.

Tudung pun tak payah bersilang-silang sangat la, pakai tudung bawal je pun ok. Mekap sket tapi jangan berlebihan. Bawa handbag yang nampak professional.
contoh:

tapi jangan bawak handbag macam kat bawah ni



Tips seterusnya: pastikan korang fotostat semua dokumen yang diperlukan, tak cukup memang tak interview la korang. susun sijil-sijil tu mula dari IC, surat beranak, pencapaian akademik bermula dari yang rendah kepada yang tinggi. contoh: SPM-STPM-Diploma-Ijazah-Master. Sijil kegiatan luar tak payah fotostat, dia nak tengok yang asal je.

Itu je perkongsian pengalaman dan tips dari aku. Harap-harap berguna untuk korang. Ada orang cakap temuduga ni nak tengok kemahiran komunikasi kita je, kemahiran berhujah, kemahiran Bahasa Inggeris, jadi sama-sama lah kita pertingkatkan skill kita ye. Kalo ada rezeki InsyaAllah dapat, kalo tak ada rezeki kena la cuba lagi tahun depan nampaknya. Doakan aku berjaya ye.

Nak tahu pengalaman temuduga saya yang ke 2014? Klik sini








Khamis, 20 Jun 2013

Lapan Bidang Tugas PTD


Sempena demam nak temuduga PTD ni, jadi mari kita ulangkaji apa soalan-soalan yang mungkin ditanya penemuduga. Rasanya ni soalan wajib kut, takkan nak jadi PTD tapi tak tahu bidang tugas kan. Ada 8 bidang tugas PTD iaitu:


1. Pengurusan Sumber Manusia dan Pembangunan Organisasi,
2. Pengurusan Kewangan,
3. Keselamatan dan Pertahanan Negara,
4. Pengurusan Teknologi Maklumat,
5. Perancangan dan Pentadbiran Sosial/Infrastruktur,
6. Pentadbiran dan Pembangunan Wilayah/Perbandaran/Tanah/Daerah/Tempatan
7. Pengurusan Ekonomi dan
8. Hubungan Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar Negeri.

Oleh kerana hari temuduga tu saya ditanya soalan ni dalam Bahasa Inggeris, jadi elok translate siap-siap.

1. Human Resource Management and Organizational Development
2. Financial Management
3. National Security and Defence
4. Information Technology Management
5. Planning and Social Administration / Infrastructure
6. Administration and Regional Development / Municipal / Land / County / Local
7. Economics Management
8. International Relations and Foreign Affairs

p/s: hafal jangan tak hafal..











Selasa, 16 April 2013

Jenis - Jenis Mahkamah dan Peranannya di Malaysia

Aku rasa ni soalan favourite kalo korang pergi exam kerja kerajaan. Tak kisahlah untuk jawatan apa pun, mesti ada punya... tapi setiap kali keluar soalan ni mesti aku fail jawab, huhu..

Mahkamah di Malaysia terbahagi kepada dua iaitu:
1. Mahkamah Persekutuan
2. Mahkamah Negeri

Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Mahkamah Atasan, Mahkamah Rendah, Mahkamah Khas
Mahkamah Negeri terdiri daripada Mahkamah Syariah dan Mahkamah Adat

MAHKAMAH PERSEKUTUAN

Mahkamah Atasan
- Mahkamah Agung (juga dikenali sebagai Mahkamah Persekutuan). Mahkamah TERTINGGI di Malaysia. Berkuasa menyelesaikan pertikaian antara kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Mendengar kes rayuan dari Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi. Berkuasa menentukan pengesahan bagi undang-undang yang dibuat oleh Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

- Mahkamah Rayuan. Membincangkan kes rayuan bagi kes jenayah sahaja, kes sivil juga boleh dibicarakan jika nilainya tidak kurang RM250,000.

- Mahkamah Tinggi. Membicarakan kes sivil dan jenayah dan apa sahaja kesalahan oleh warganegara Malaysia dan warganegara asing yang berada di Malaysia. Kes sivil - Melibatkan kes penjagaan kanak-kanak, perkahwinan dan penceraian bagi bukan Muslim dan kemuflisan. Kes jenayah - mendengar kes rayuan jenayah dari Mahkamah Rendah yang nilai denda melebihi RM25.


 Mahkamah Rendah

- Mahkamah Sesyen. Mahkamah TERTINGGI  dalam komponen Mahkamah Rendah. Kes Jenayah - apa sahaja kesalahan kecuali menjatuhkan hukuman mati. Kes Sivil - melibatkan nilai tidak melebihi RM250,000.  Menjalankan siasatan awal sebelum seseorang itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi. Jika bukti cukup terhadap tertuduh, ia akan dibicarakan di mahkamah Tinggi.

- Mahkamah Juvana. Kes jenayah untuk mereka yang berumur 10 - 18 tahun. Perbicaraan secara tertutup.

- Mahkamah Majistret Kelas 1. Membincangkan kes jenayah dan sivil. Hukuman maksimum 5 tahun penjara dan denda RM10,000, sebatan 12 kali atau ketiga-tiganya sekali.

-Mahkamah Majistret Kelas II. Kes jenayah - hukuman maksimum 12 bulan penjara, denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali. Kes sivil - tuntutan tidak melebihi RM3,000.

- Mahkamah Tuntutan Kecil - Kes sivil tidak melebihi RM3,000.

- Mahkamah Penghulu - Mahkamah TERENDAH dalam komponen Mahkamah RENDAH. Kes sivil tidak lebih RM50. Kes jenayah denda RM25 sahaja. Dikendalikan oleh penghulu sesuatu mukim.

Mahkamah Khas

-Mahkamah Tentera - Kes tingkah laku anggota tentera. Tidak membicarakan kes sivil dan jenayah. Boleh menjatuhkan sebarang hukuman kecuali hukuman mati yang perlukan pengesahan YDP Agong.

-Mahkamah Khas Raja-Raja. Membicarakan kesalahan YDP Agong dan Sultan dalam kes sivil dan jenayah yang dilakukan dalam Persekutuan. Tindakan dikenakan setelah mendapat keizinan Peguam Negara.


MAHKAMAH NEGERI

Mahkamah Syariah

- Terdiri daripada Mahkamah Syariah Rayuan dan Mahkamah Tinggi Syariah. Untuk mengadili umat ISLAM sahaja ye. Kes sivil dan jenayah. Kesalahan besar kat Mahkamah Tinggi Syariah, kesalahan kecil kat Mahkamah Rendah Syariah. Kes rayuan kat Mahkamah Syariah Rayuan.

Mahkamah Adat

Kes pelanggaran adat oleh suku kaum di Sabah dan Sarawak.


haa camne? sangat berinformasi tak? sebenarnya ada banyak lagi pasal mahkamah ni, tapi dah rasa cam nak muntah darah menghafalnya. So kita ambil yang basic je ok, korang nak jadi PTD je kan, bukan Peguam Negara, hik2. Apa yang penting ialah hafal jenisjenis mahkamah, mana yang tinggi mana yang rendah dan apa fungsi utamanya. Ok babai.