Ahad, 21 Disember 2014

National Blue Ocean Strategy 7 (NBOS 7) / Strategi Lautan Biru Kebangsaan

Rasanya NBOS ni banyak kali ditanya, tak kira lah masa temuduga atau esei. Jadi apa kata kita study sikit pasal NBOS ni.

Sebelum tu kita kena tahu kenapa strategi ni diberi nama lautan biru? kenapa tak tasik hijau ke, atau sungai keruh ke kan?

Kalau nak cerita memang banyak, penat la nak taip panjang-panjang, apa kata korang layan video ni dulu, hehe.



Okay mungkin ada di antara korang yang tak boleh nak layan video, sebab data plan nak habis, asyik buffering je kan, jadi saya tolong taipkan kat sini secara ringkas.

Lautan: merujuk kepada perkhidmatan awam
Lautan biru: peluang baru untuk diterokai bagi menambah baik perkhidmatan awam untuk rakyat.

NBOS diperkenalkan pada tahun 2009 oleh Dato' Seri Najib Tun Razak.
"Kita berlayar dari lautan merah ke lautan biru" - maaf bebanyak, saya tak tahu apa maksudnya tu
dengan bekalan PRODUKTIVITI, KREATIVITI, INOVASI.
(sila rujuk temuduga terbaru saya di sini, di mana saya ditanya bagaimana nak jadi seorang PTD yang kreatif, produktif dan inovatif, nampak gayanya penjawat awam sangat suka tiga perkataan ni, nampak bombastic kan, jadi cuba fahami apa maksud 3 perkataan ni sebenarnya)

dilaksanakan antara kementerian dan agensi kerajaan merentasi kerajaan persekutuan, negeri dan tempatan. (penting untuk korang faham apa beza ketiga-tiga bidang kuasa ini, soalan favourite panel)

Tiga prinsip proses saksama

  1. Penglibatan semua pihak iaitu menteri, penjawat awam dan rakyat
  2. Penerangan kepentingan program NBOS agar semua pihak faham
  3. Penjelasan tanggungjawab agar semua pihak dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing

Program NBOS yang berjaya dilaksanakan ialah:
Kerjasama kreatif antara polis dan tentera untuk kurangkan kadar jenayah.
UTC untuk mengintegrasikan pelbagai agensi kerajaan dan perkhidmatan masyarakat di bawah satu bumbung.
RTC untuk tingkatkan taraf hidup penduduk luar bandar.
IM4U untuk semarakkan semangat kesukarelaan di kalangan belia demi kemajuan negara.
Memperkasakan GTP dan ETP dengan tujuan mengoptimumkan penggunaan sumber agar proses dapat dijalankan bagi mencapai impak yang tinggi dengan kos yang rensah dan dilaksanakan dengan pantas.


UTC - Urban Transformation Centre
RTC - Rural Transformation Centre
GTP - Government Transformation Program
ETP - Economy Transformation Program

Layan satu lagi video kalau nak tahu detail dari NBOS 1 hinggan NBOS 8



Jumaat, 19 Disember 2014

Panduan menulis esei dan contoh soalan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) 2014

Saya dah cuba kumpulkan beberapa soalan esei yang telah dikongsi oleh calon-calon temuduga dekat FB group baru-baru ni. Soalan setiap hari adalah berbeza dan mungkin tidak berulang. Tapi saya tetap nak kongsikan kat sini sebagai panduan pada calon-calon yang belum ditemuduga. Alhamdulillah sejak saya ambil ujian PTD 2-3 tahun ini tak pernah lagi saya gagal peperiksaan, cuma gagal temuduga je.

Antara tips yang boleh saya kongsikan sebagai panduan menulis esei ialah:

1. Saya hanya menulis 5 perenggan sahaja, pendahuluan, 3 isi kandungan, penutup. Lebih kurang satu mukasurat setengah je. Tak perlu terlalu panjang kerana kadangkala apabila terlalu panjang, lebih banyak kesalahan bahasa yang dilakukan.

2. Elakkan huraian yang meleret-leret. Dalam setiap perenggan, terangkan isi penting dengan jelas, satu atau dua huraian berserta contoh.

3. Beri 1-2 contoh petikan dari kata-kata tokoh terkenal, contohnya Perdana Menteri. Ini menunjukkan anda memang rajin membaca dan bukannya hanya memberi huraian berdasarkan fikiran sendiri.

4. Rancang dahulu isi kandungan yang hendak ditulis. Pastikan pengenalan esei menarik perhatian pembaca dan isi penting yang paling kuat/kukuh diletakkan dalam perenggan pertama, Kalau boleh, setiap perenggan mempunyai kesinambungan dari perenggan terdahulu.

5. Periksa kesalahan ejaan dan 'grammar'.

Contoh soalan esei BI


  1. 'Leadership with vision' governs great success to a country.
  2. Why it is important to eradicate bribery.
  3. Computer screen communication over face to face communication. Discuss the disadvantages of it.
  4. Children imitates adult.
  5. Academic qualification give priority chances to success in life.
  6. How the new developments of technology and communication affected our daily life.
  7. Do incentives really help to motivate the employees of an organizations.
  8. Suggest ways which government can promote recycling among public.


Contoh soalan esei BM


  1. Amalan menabung jarang diamalkan oleh masyarakat kita.
  2. Kekuatan sektor pelancongan Malaysia dalam menarik pelancong asing ke Malaysia.
  3. Kepentingan pengangkutan awam.
  4. Kasih sayang dalam keluarga.
  5. Cara tangani isu kenaikan harga barang keperluan.
  6. Media elektronik mempengaruhi tabiat membaca.
  7. Mencegah penyakit lebih bagus daripada mengubatnya.
  8. Pemimpin muda perlu lebih aktif dan produktif.
  9. Usaha untuk meningkatkan semangat kerja berpasukan.


Selasa, 16 Disember 2014

Pengalaman Temuduga Pegawai Tadbir Diplomatik 2014

Baru je balik dari temuduga ni, punya lah pantas terus update post ye! yelah kalau tunggu lama-lama nanti saya lupa la apa yang panel tanya..

Temuduga saya cuma 15 minit je, Calon sebelum saya pun sama jugak 15 minit. Kali ni semua soalan dalam BM.

1. Perkenalkan diri (dalam BM sbb panel tanya pun dalam BM)

2. Kenapa tak bersukan (saya bidang sukan, tapi sekarang ni badan dah overweight sikit, mungkin tu sebab dia tanya macam tu). Saya jawab sebab kekangan masa kerana saya bekerja, menyambung master dan mengurus keluarga pada masa yang sama. Tapi panel macam tak puas hati dengan jawapan saya tu, banyak kali dia tanya sampai saya terkedu nak jawab apa dah. Takkan nak ulang jawapan yang sama kan. Masa ni dah rasa down sikit tapi masih tabahkan hati lagi.

3. Bagaimana nak jadi seorang ptd yang inovatif, kreatif dan produktif. Saya beri jawapan tapi kurang pasti adakah itu yang panel mahukan. Jawapan sebenar ialah ptd kena banyak membaca, tambahkan ilmu pengetahuan, berintegriti.. senang citer ciri-ciri la..

4. Pernah dengar pasal pihak berkuasa tempatan tak? boleh bagi tiga contoh? Yang ni senang, Cth. Majlis Perbandaran Subang Jaya, Majlis Daerah Kuala Selangor, Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

5. Bagaimana mahu mengatasi kerenah birokrasi. Tak berapa ingat dah saya jawab apa sebenarnya, panel angguk2 je, tak tau lah setuju ke tak hehe..

6. Panel tanya ada apa-apa soalan ke? masa ni saya terkejut, aikk 3 soalan je? kejapnya! Saya tanya la, Datuk, boleh saya tahu kriteria yang datuk cari bagi seorang calon PTD? (soalan macam putus harapan je kan, hehe).

Tapi saya sangat suka part ni, datuk tak la bagitahu secara spesifik apa ciri yang dia mahukan, tapi dia cuma cakap macam cari calon suami, kena cari the best! Dia cuma mengulas apa pandangan dia terhadap saya, cthnya dia cakap saya ni agak kurang yakin dengan jawapan saya sendiri. banyak kata-kata nasihat gak la. Saya angguk2 jela..

Itu je, ucap terima kasih, pastu balik!


p/s: tak tau lah boleh dapat ke tak kali ni, Temuduga kali ni agak mengecewakan sikit berbanding temuduga 2013. Oh ya, kalau nak tahu pengalaman temuduga saya pada tahun lepas, klik sini

 Kalau dapat maknanya memang rezeki saya la tu, kalau tak dapat nampaknya saya akan menjadi blogger yang berusaha memberi pelbagai maklumat pada korang yang nak temuduga nanti ye!


Jumaat, 12 Disember 2014

Akta Hasutan 1948

Akta Hasutan 1948

Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Razak  mengumumkan pemansuhan akta hasutan 1948 dan akan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional.
Antara tujuan akta hasutan ini adalah untuk melindungi perpaduan negara dan keharmonian dalam beragama serta menagani masalah masyarakat majmuk di negara ini.
Akta ini juga membolehkan kerajaan mengambil tindakan terhadap pihak yang menggunakan isu sensitif untuk memecahbelahkan perpaduan nasional.
Akta ini pada mulanya diperkenalkan oleh British sewaktu penjajahan mereka di Tanah Melayu, bukan digubal oleh parlimen negara, tetapi kini ia jadi sebahagian daripada undang-undang negara dan terbaru ianya dimansuhkan.
Kecenderungan menghasut ialah kecenderungan membangkitkan perasaan benci atau tidak suka terhadap mana-mana raja / kerajaan / kaum / penduduk / menyoal peruntukan tertentu didalam perlembagaan persekutuan.

Akta Keharmonian Nasional

Akta ini lebih memberi penekanan kepada memupuk semangat harmoni dan saling menghormati dalam masyarakat yang berbilang bangsa dan agama.
Akta ini juga dikatakan mempunyai dasar yang lebih longgar yang memberi ruang kepada rakyat mengkritik dan menyatakan ketidakpuashatian dengan syarat ianya tidak membawa niat jahat dan menghasut.

Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH)

Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) ialah pergerakan yang diterajui oleh SUARAM, Lawyers for Liberty, Amnesty International Malaysia, IKRAM yang menganjurkan kempen kebangsaan untuk menamatkan ancaman ke atas kebebasan bersuara, kebebasan akademik dan kebebasan akhbar melalui Akta Hasutan.

Tiga tuntutan GHAH:
Memansuhkan Akta Hasutan 1948
Gugurkan semua pendakwaan sedia ada dan bebaskan semua yang dihukum di bawah akta tersebut.
Tidak ada akta gantian dengan peruntukan yang sama zalim.

Sumber:
SUARAM
pmr.penerangan



Jumaat, 5 Disember 2014

Perbezaan antara Klinik 1 Malaysia dengan Klinik Kesihatan

Klinik 1 Malaysia

Klinik 1 Malaysia ini dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak di Flat Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur pada 7 Januari 2010.
Terdapat 50 buah klinik seluruh negara (lebih kurang 3 atau 4 buah setiap negeri).
Klinik ini dikendalikan oleh pembantu hospital dan dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.
Warganegara Malaysia dikenakan RM1 manakala bukan warganegara dikenakan RM15.
Menyediakan rawatan ringan seperti demam, batuk, selesema dan penyakit ringan yang lain.
Menyediakan rawatan susulan penyakit kronik yang stabil dan terkawal seperti diabetes, darah tinggi dan asma.
Melakukan prosedur rawatan ringan seperti cuci luka dan buka jahitan.
Membuat notifikasi bagi penyakit berjangkit seperti demam denggi.
Memberi khidmat nasihat dan pendidikan kesihatan.

Klinik Kesihatan

Dibuka dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.
Menyediakan saringan untuk mengesan risiko penyakit kronik seperti diabetes dan darah tinggi.
Menyediakan kaunseling pemakanan dan berhenti merokok.
Pendidikan makanan dan kesihatan.
Perancang keluarga.
Kesihatan warga tua, mental dan remaja
Kesihatan ibu mengandung, pranatal, selepas bersalin.
Imunisasi dan pemantauan perkembangan kanak-kanak.

Sumber: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor

Jadi kesimpulannya, perbezaan besar antara dua jenis klinik ini ialah perkhidmatan yang diberikan. Klinik 1 Malaysia ini cuma fokus pada rawatan ringan sahaja dan boleh dikendalikan oleh pembantu hospital. Kes yang lebih berat akan dirujuk ke klinik kesihatan atau hospital. Klinik 1 Malaysia juga dibuka sampai malam, jadi senang sikit lepas kerja boleh terus pergi.



Ahad, 19 Oktober 2014

Peperiksaan Online Pegawai Tadbir Diplomatik (dikecualikan)


Tiba-tiba tergerak hati nak check SPA website semula. Rupa-rupanya dapat PENGECUALIAN! alhamdulillah... Ada info dari individu yang baru balik dari kursus PTD kat putrajaya yang dikongsikan..

Antaranya:

200 calon lantikan & 100 simpanan untuk batch ini.
Soalan exam hampir sama dengan exam kastam, cuma skop kerja berbeza & lebih kepada dasar negara
Ada 3 seksyen, A, B dan C. Bagi yang tak tahu, A-pengetahuan am, B-Daya penyelesaian masalah, C-Psikometrik. Kalau ramai yang lulus, BERKEMUNGKINAN SPA akan membuat tapisan lagi dan tambah seksyen D dan E iaitu esei BM dan BI.
Tiada PAC atau ujian fizikal untuk batch ni
Calon exam seramai 77ribu (ramai tuh)


Apapun, lega sebab dapat pengecualian, malah sangat bersyukur sebab tak perlu nak lalui PAC, jadi terus interview je.. Harap temuduga kali ni lebih baik dari tahun lepas, moga-moga dapat lantikan, InsyaAllah!Harap korang buat la yang terbaik ye, semoga jumpa time interview!




Rabu, 15 Oktober 2014

Peperiksaan Online Pegawai Tadbir dan Diplomatik 2014


Exam online dah nak dekat!
Tarikh 1 Nov 2014, bermula pukul 8 malam.

Tapi sedih gak, sebab tahun lepas dah interview, tahun ni kena exam balik ke? bukan ke SPA kata interview valid untuk 5 tahun? Tapi tak apa, sebab dah ada pengalaman jawab exam online Penguasa Kastam baru-baru ni, jadi tak lah risau sangat. Yang buat saya risau, server SPA tu dah ok belum? Sebab ramai sangat yang komplen server down masa exam. Patutnya exam pukul 8 pagi tapi pukul 3 petang baru dapat jawab. Kononnya buat exam ulangan tapi sama jugak, server down lagi. Jadi harap sangat SPA buat sesuatu untuk atasi masalah ni.

Alhamdulillah exam online hari tu saya lulus. Harap-harap exam PTD kali ni lulus jugak. Kena mula study dari sekarang, lagi-lagi pengetahuan am, isu semasa.

Bagi yang first time nak menjawab soalan exam, nombor pada pautan tu ialah nombor server anda, jadi turutan soalan setiap server tak sama,

Bagi yang rajin berfacebook tu, apa kata join group Calon Pegawai Tadbir Diplomatik 2014. Kat situ banyak info dan pertolongan rakan-rakan lain.

Klik bawah:
Calon Pegawai Tadbir Diplomatik 2014





Khamis, 11 September 2014

Istilah perundangan / mahkamah yang wajar kita ambil tahu

Menurut pengalaman saya yang tak seberapa ni, boleh dikatakan setiap peperiksaan SPA (yang saya ambik) mesti ada je soalan berkaitan istilah-istilah dalam perundangan. Tapi setiap kali tu jugak la asik lupa nak study. Jadi jom kita study jap asas-asas istilah perundangan yang mungkin ditanya dalam exam akan datang.

Subpoena/sapina: Arahan kepada seseorang untuk hadir di mahkamah pada sesuatu masa untuk menjadi saksi berkaitan dengan perbicaraan. Sapina perlu diserahkan ke tangan saksi sendiri, bukan melalui iklan suratkhabar, tampal depan pintu rumah ke. Saksi akan mengaku penerimaannya dikeratan dan in menjadi bukti penyerahan.  

Writ: Arahan bertulis rasmi yang dikeluarkan oleh pihak mahkamah. Dua jenis writ iaitu waran dan prerogatif (habeas corpus)

prima facie: maksudnya ada bukti yang benar-benar kukuh untuk memulakan pendakwaan kes. 

habeas corpus: perintah mahkamah supaya seseorang dilepaskan daripada penahanan yang tidak mengikut undang-undang. 

afidavit: dokumen bersumpah yang mencatatkan kenyataan pengakuan seseorang tentang sesuatu hal. 

alibi: bukti yang menunjukkan bahawa seseorang tidak berada di tempat kejadian ketika sesuatu jenayah dilakukan.

injuksi: perintah bertulis mahkamah yang mengkehendaki sesuatu pihak dalam sesuatu tindakan melakukan / tidak melakukan / menghentikan sesuatu pada masa dan tempat tertentu.

saman: perintah supaya hadir di mahkamah.

mandamus: perintah mahkamah untuk memaksa perlaksanaan sesuatu kewajipan awam yang tertentu.

sine dine: penangguhan sesuatu kes hingga ke suatu tarikh yang belum ditetapkan. 

certiorari: perintah mahkamah untuk mengetepikan keputusan yang dibuat oleh mahkamah yang lebih rendah. 

ex parte : permohonan oleh plaintif untuk mendengar kes tanpa kehadiran defendan (tertuduh)

bona fide: dengan baik hati dan jujur tanpa penyertaan dalam perbuatan yang salah.

Rasanya cukup la kut untuk bacaan am. Kalau tulis banyak sangat nanti korang gak pening kepala, lain la kalau korang nak cuba apply pegawai undang-undang kan...:)





Ahad, 7 September 2014

Perbezaan antara undang-undang awam dan undang-undang persendirian (sivil)

Undang-undang ada 2 bentuk:

1) Undang-undang awam
    a) Perlembagaan
        -struktur kerajaan / hak asasi rakyat dan individu di bawah pemerintahan
    b) Pentadbiran
        - penggunaan kuasa badan eksekutif dan pentadbiran kerajaan
    c) Jenayah
        - pelbagai jenis kesalahan jenayah yang dilakukan rakyat

2) Undang-undang persendirian (sivil)
    a) Kontrak
        - hak dan tanggungjawab yang wujud akibat perjanjian yang boleh dikuatkuasakan di sisi undang-undang.
    b) Tort
        - pemberian pampasan disebabkan kecuaian atau pelanggaran hak peribadi sehingga menyebabkan kecederaan peribadi atau kerosakan harta benda seseorang individu oleh individu yang lain.
    c) Amanah
        - hak dan tanggungjawab pemegang amanah dengan waris
    d) Tanah
        - urusan pentadbiran tanah, cagaran, sekatan, sewaan dsb.
    e) Keluarga
        - perkahwinan, penceraian, hak dan tanggungjawab ke atas harta dan anak-anak 
    f) Syarikat
       - berkaitan penubuhan, pendaftaran, pembubaran syarikat, hak dan tanggungjawab syarikat dan pemegang saham dsb.
    g) Perkongsian
        - hak dan tanggungjawab perkongsian, penubuhan dan pembubaran perkongsian
    h) Ejensi
        - hak dan tanggungjawab prinsipal dan ejen


Undang-undang awam
- melibatkan hubungan antara kerajaan dengan rakyat
- pihak pendakwaraya dari pejabat peguam negara atau
pegawai pendakwa dari pasukan polis yang mewakili kerajaan menjalankan prosiding jenayah atau pendakwaan ke atas individu yang melanggar undang-undang tersebut.

Undang-undang persendirian (sivil)
- melibatkan hubungan antara rakyat dengan rakyat
- perbicaraan di antara dua pihak tersebut
- selalunya kedua-dua pihak diwakili peguam masing-masing
- tindakan undang-undang ini dipanggil prosiding sivil

Terma yang selalu digunakan
plaintif: pihak yang mendakwa
defendan: pihak yang didakwa
bagi kes rayuan
appellant:pihak membuat rayuan
responden: pihak yang bertentangan